Followers

1malaysia

Wednesday, 10 August 2011

Guru Silat diiktiraf dengan ijazah kedoktoran

KUALA LUMPUR, 29 MEI 2011 – Sebuah gabungan guru-guru seni beladiri Malaysia hari ini mencatat sejarah dengan menganjurkan Konvensyen & Konvokesyen Seni Beladiri yang pertama di sini, di mana ilmu dan usaha mahaguru-mahaguru seni beladiri selama ini diiktiraf dengan segulung ijazah kedoktoran.

Majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Dewan Toh Puan Norashikin, Kompleks Darul Puteri, Cheras, itu dianjurkan Persatuan Guru-Guru Seni Beladiri Malaysia (MAGMA) dan Akademi Seni Beladiri MAGMA, Universiti Terbuka Asia Pasifik dan dihadiri pengamal silat dan seni beladiri lain bagi meraikan pengorbanan guru-guru mereka mengembangkan ilmu kepada masyarakat.

Majlis itu dirasmikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan. Beliau memuji usaha MAGMA dalam memartabatkan seni beladiri ke tahap yang lebih akademik.

“Konvokesyen hari ini melambangkan bahawa ilmu seni beladiri, terutamanya silat kini diiktiraf dan akan terus terpelihara. Saya berdoa agar ahli-ahli MAGMA terus bersatu untuk memelihara dan mengembangkan ilmu serta disiplin perguruan dengan sebaik-baiknya dengan menjadikan majlis sebegini sebagai acara tahunan. Mudah-mudahan nama Malaysia akan terpahat dan diiktiraf sebagai destinasi terbaik pengamal seni beladiri dunia,” katanya dalam ucapan perasmiannya.

Seramai 20 graduan kedoktoran seni beladiri dan 4 graduan kedoktoran perubatan komplementari naik ke pentas bagi menerima gulungan ijazah mereka disaksikan anak murid dan ahli perguruan mereka. Di samping itu, juga terdapat 14 graduan ijazah sarjana, 6 graduan sarjana muda dan 9 graduan diploma, kesemuanya dalam bidang seni beladiri.

Antara graduan kedoktoran termasuklah, mahaguru Raja Aziz Raja Ali, pengasas Silat Kegayungan Acheh Helang Putih, grandmaster Tan Ghee Lip, pengasas Free-Style Martial Arts Self-Defence, mahaguru Dahlan Karim, pengasas Silat Setiabakti, sensei Ramlan Ahmed daripada Aikido Shudokan, sifu Alex Loh Oon Teik daripada Goh Chor Kung Fu, mahaguru Mohammed Hashim Mohammed Salleh, pengasas Silat Lian Padukan, dan master Shuhaizy Saad, pengasas Stealth Taekwondo.

Bagi melayakkan diri untuk program pengajian MAGMA itu, calon perlu melibatkan diri dalam perguruan seni beladiri bagi tempoh tertentu dan mengikuti kursus-kursus anjuran MAGMA di samping penulisan dan pembentangan tesis kajian seni beladiri. Hanya guru tertinggi dan terkanan dalam perguruan seni beladiri layak mengambil ijazah kedoktoran.

Antara acara menarik sepanjang majlis itu termasuklah pembentangan tesis graduan kedoktoran dalam bentuk demonstrasi praktikal dan penjelasan mengenai perguruan mereka.

Di samping itu, hadirin turut dikejutkan dengan penyampaian sijil penghargaan tertinggi kepada bekas Presiden Persekutuan Silat Antarabangsa (PERSILAT), Eddie M. Nalapraya atas usaha beliau mempromosi silat ke seluruh dunia.

Menurut Presiden MAGMA yang juga seorang graduan kedoktoran, Datuk Haji Baharom bin Haji Kamari, “MAGMA dilahirkan bagi memartabatkan guru-guru seni beladiri ke tahap yang tinggi. Pendekatan inilah yang tepat dan merupakan landasan yang kukuh yang akan melonjakkan MAGMA berjaya merealisasikan pemartabatan guru-guru seni beladiri,” kata beliau. Beliau turut melancarkan Akademi Seni Beladiri MAGMA, Universiti Terbuka Asia Pasifik yang akan dijadikan penggerak utama melahirkan graduan baru dalam bidang seni beladiri tidak lama lagi.

Dr Zam@Ab Razak Zamri, Ketua Pegawai Operasi Akademi Seni Beladiri MAGMA, Universiti Terbuka Asia Pasifik pula mengingatkan para graduan bahawa sebagai pengamal seni beladiri, mereka mempunyai tanggungjawab besar dalam pendidikan generasi rakyat Malaysia akan datang.

“Bekerjalah dengan bersungguh-sungguh dengan sentiasa mengamalkan sifat jujur, amanah dan ikhlas dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada anda semua,” ucap beliau.

Tesis hasil kajian graduan akan diarkib bagi memulakan dan mengembangkan dokumentasi tempatan dalam bidang seni beladiri. Graduan lapisan pertama ini akan menjelajah ke seluruh Malaysia dalam tahun akan datang bagi mengadakan kursus dan melatih calon graduan barisan kedua di bawah naungan akademi MAGMA.

Mengenai MAGMA
MAGMA adalah singkatan Persatuan Guru-Guru Seni Beladiri Malaysia (Malaysian Martial Arts Grand Masters’ Association), badan gabungan tenaga pengajar seni beladiri seluruh Malaysia. Kini, MAGMA mempunyai keahlian merangkumi 45 perguruan yang berjumlah seramai 500,000 orang. Dengan kerjasama Akademi Seni Beladiri MAGMA, Universiti Terbuka Asia Pasifik, ia melancarkan program Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran dalam bidang Seni Beladiri, merangkumi pengajian pertahanan diri, kebudayaan, kesenian, sukan, jatidiri, perubatan dan lain-lain lagi.

No comments:

Post a Comment